Siapakah
Sahabat Rasulullah Yang Dimandikan Oleh Malaikat
Siapakah Sahabat Rasulullah Yang Dimandikan Oleh
Malaikat | Bercakap
tentang pergorbanan para sahabat waktu ketika dahulu memang tiada
tandingannya. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi Islam. Jadi tidak hairanlah, apabila
seorang sahabat yang dikenali sebagai Hanzalah bertindak menyertai
peperangan bersama Rasulullah SAW biarpun dirinya baru sahaja mengadakan majlis pernikahan. Ia biarkan rasa
seronok, semata-mata untuk memberi kemenangan kepada Islam. Allahuakhbar!
Perkahwinan Hanzalah bin Abu Amir dengan sepupunya,
Jamilah binti Ubay sudah siap diatur. Kebetulan pula, hari berlangsungnya
perkahwinan Hanzalah bertembung dengan hari peperangan tentera Islam menentang
musuh di Bukit Uhud. Hanzalah bin Abu Amir mendekati Rasulullah s.a.w., “Saya
bercadang menangguhkan sahaja perkahwinan saya malam nanti.” Pada masa itu,
Nabi Muhammad s.a.w. dan tentera-tentera Islam di kota Madinah sibuk membuat
persiapan akhir untuk berperang. “Tidak mengapa, teruskan sahaja perkahwinan
ini,” balas Rasulullah s.a.w.. “Tetapi saya sungguh berhajat bagi menyertainya,
”Hanzalah bertegas. Rasulullah s.a.w. berkeras supaya Hanzalah meneruskan
perkahwinannya dan memberi cadangan supaya Hanzalah menyusuli tentera Islam di
Bukit Uhud pada keesokan hari, setelah selesai upacara perkahwinan.
Hanzalah mendiamkan diri. Ada benarnya saranan Nabi
Muhammad itu; perkahwinan ini bukan sahaja melibatkan dirinya bahkan bakal
isterinya juga. Pada malam Jumaat yang hening, perkahwinan antara Hanzalah bin
Abu Amir dan Jamilah binti Ubay dilangsungkan secara sederhana. Suasana yang
hening dan sunyi itu tidak tenang hingga ke pagi. Kota Madinah tiba-tiba
dikejutkn dengan paluan gendang yang bertubi-tubi. Paluan gendang mengejutkan
para pejuang bersama laungan menyebarkan berita.
“Bersegeralah! Kita bersegera perangi musuh Allah.”
“Berkumpul segera! Keluarlah! Rebutlah syurga Allah!”
“Perang akan bermula!”
Pukulan gendang dan laungan jihad itu mengejutkan
pasangan pengantin yang baru sahaja dinikahkan. Hanzalah bingkas dari tempat
tidurnya, “Saya harus menyertai mereka.” “Bukankah malam ini malam
perkahwinan kita dan Nabi Muhammad mengizinkan kanda berangkat esok?” Soal
isterinya. Hanzalah menjawab tegas, “Saya bukanlah orang yang suka memberi
alasan bagi merebut syurga Allah.”
Jamilah terdiam dan hanya mampu memerhatikan
suaminya bersiap memakai pakaian perang dan menyelitkan pedang ke pinggangnya.
Hanzalah menoleh ke arah isterinya, “Janganlah bersedih, doakan pemergian saya
semoga saya beroleh kemenangan.” Suami isteri itu berpelukan dan bersalaman.
Berat hati Jamilah melepaskan lelaki yang baru sahaja menjadi suaminya ke medan
perang. Namun, Jamilah menguatkan hatinya dan melepaskannya dengan penuh redha.
“Saya mendoakan kanda beroleh kemenangan.”
Hanzalah melompat ke atas kudanya dan terus memecut
tanpa menoleh ke belakang. Akhirnya, dia berjaya bergabung dengan tentera Islam
yang tiba lebih awal daripadanya.
Di medan perang, jumlah tentera musuh adalah seramai
tiga ribu orang yang lengkap bersenjata manakala jumlah tentera Islam hanyalah
seramai seribu orang. Perbedaan itu tidak menggugat sanggar wibawa tentera
Islam termasuklah Hanzalah. Dia menghayun pedangnya menebas leher-leher
musuh yang menghampiri dan apabila dia terpandang Abu Sufyan, panglima
tentera Quraisy, Hanzalah menerkam Abu Sufyan umpama singa lapar. Mereka
berlawan pedang dan bergelut; akhirnya Abu Sufyan sungkur ke tanah. Tatkala
Hanzalah mengangkat pedang mahu menebas leher Abu Sufyan, dengan kuat panglima
tentera Quraisy itu menjerit menarik perhatian tentera Quraisy. Tentera-tentera
Quraisy menyerbu Hanzalah dan Hanzalah tewas, rebah ke bumi.
Sebaik sahaja perang tamat, tentera Islam yang
tercedera diberikan rawatan. Mayat-mayat yang bergelimpangan dikenalpasti dan
nama-nama mereka, tujuh puluh orang kesemuanya, dicatat. Sedang Nabi Muhammad
yang tercedera dan patah beberapa batang giginya diberi rawatan, beliau
mengatakan sesuatu yang menyentak kalbu, “Saya terlihat antara langit dan
bumi, para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air daripada awan yang
diisikan ke dalam bekas perak.” Abu Said Saidi, antara tentera yang berada
dekat dengan Nabi Muhammad bingkas mencari jenazah Hanzalah. “Benar kata-kata
Nabi Muhammad. Rambutnya masih basah bekas dimandikan!” Abu Said Saidi
menyaksikan ketenangan wajah Hanzalah walaupun beliau cedera parah di seluruh
badannya. Rambutnya basah dan titisan air mengalir di hujung rambutnya sedang
ketika itu matahari terik memancar.

No comments:
Post a Comment